Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas
BOLKIAH GARISON, Selasa, 17 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ke-52 Tahun anjuran Kementerian Pertahanan.
Mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba DYTM dan Yang Teramat Mulia berserta paduka-paduka adinda di Mes Pegawai Bolkiah Garison, dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Datin; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Datin.
DYTM dan YTM berserta ahli kerabat diraja kemudian dijunjung untuk menyertai sesi bergambar ramai dan seterusnya disembahkenalkan kepada anggota - anggota ABDB yang telah menamatkan penugasan misi luar negara, termasuk Penugasan Misi Pengaman di dalam Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) bagi misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), serta pasukan The Independent Decommissioning Body Verification Monitoring and Assistance (IDB VMAT) di Republik Filipina; penerima Anugerah Antarabangsa Women In Defence UK Awards 2025 di United Kingdom, pegawai - pegawai yang telah menamatkan kursus di luar negara dan kursus tempatan dengan cemerlang, atlet-atlet ABDB yang telah meraih pingat dalam Sukan Asia Tenggara Ke-33 di Kerajaan Thailand dan Sukan Borneo 2025 di Kuching, Sarawak, Malaysia; penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam sempena Hari Perkhidmatan Awam 2025, dan penerima Projek Belia Cemerlang sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-20.
DYTM juga disembahkan dengan tayangan klip video dan sebuah buku khas bertajuk 'Sejambak Ristaan XIX' yang menghimpunkan koleksi gambar-gambar kenangan keberangkatan DYTM ke acara-acara Kementerian Pertahanan sepanjang 2025 hingga Januari 2026.
Majlis disusuli dengan penandatanganan Lembaran Keberangkatan sebelum dijunjung berangkat ke ruang khas bagi Majlis Santap Petang.
Majlis Santap Petang berkenaan turut diserikan dengan Upacara Memotong Kek Puja Usia, dan DYTM juga berkenan menerima pesambah daripada seluruh warga ABDB yang bertemakan 'Wajah Kepimpinan Berwibawa Dalam Warisan Negara'.
Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM dan YTM berserta ahli-ahli kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB.
.jpg)